Selasa, 18 Februari 2014

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGAWAL KEMASUKAN PENDATANG ASING TANPA IZIN


           Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki negara kita secara beramai-ramai. Kedatangan pendatang asing semakin ketara pada tahun 1980-an. Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Mejoriti mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Kebanjiran pendatang asing sama ada secara sah atau pun haram memberikan impak dan telah menimbulkan kebimbangan kepada Negara.  Kehadiran mereka telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Oleh yang demikian, kehadiran mereka perlu dibendung dan diawasi. Pelbagai langkah perlu dilakukan bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin.
        
          Dalam usaha membendung kehadiran PATI, pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.
         
            Seterusnya pihak polis perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

           Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.

         Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

          Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.

          Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pekerja asing adalah memperketatkan pengawasan di kawasan sempadan dan pintu masuk negara supaya mereka tidak menyeludup ke negara kita. Kerajaan juga boleh menggunakan tenaga RELA untuk menjalankan rondaan dan menangkap pekerja asing yang haram. Bgi pendatang tanpa izin yang ditangkap, mereka akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Undang-undang negara juga harusdiperketatkan supaya mereka tanpa permit didakwa dan dihukum dengan sewajarnya. Hukuman yang berat dikenakan terhadap mereka supaya menjadi kesedaran kepada pekerja asing agar tidak mengulangi kesalahan mereka. Kerajaan sepatutnya mengehadkan pembabitan pekerja asing dalam sektor tertentu sahaja seperti sektor pembinaan. Dengan itu, jumlah pekerja asing dan kesan buruk yang dibawa oleh mereka dapat dikurangkan.

          Kesimpulan, kedatangan pekerja asing memang ada kebaikan dan keburukannya. Namun demi menyelesaikan masalah pekerja asing, semua pihak harus memainkan peranan mereka dengan baik supaya hanya pekerja asing yang sah yang berada di negara. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan patutlah mengkaji segala aspek dari segi politik, sosial dan ekonomi supaya kemasukan pekerja asing ini dapat dimanfaatkan unuk pembangunan negara. Oleh itu,langkah yang drastic dan signifikan harus difikirkan bersama agar bilangan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia dapat di bendung dengan jayanya.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan